Sebahagian ahli majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang menghadiri mesyuarat bulanan di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS di Bandar Baru Selayang pada 27 Jun 2023. Foto ihsan MPS
PBTSELANGOR

MPS kutip RM50.39 juta cukai taksiran dalam tempoh lima bulan

OLEH AZIAN AZIZ

SELAYANG, 27 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengutip sejumlah RM50.39 juta cukai taksiran antara Januari sehingga 31 Mei, maklum timbalan yang dipertuanya.

Menurut Adi Faizal Ahmad Tarmizi, jumlah itu meliputi 88.41 peratus daripada RM57 juta cukai taksiran yang perlu dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan tahun ini.

Dalam mesyuarat bulanan MPS di ibu pejabatnya di sini, beliau memaklumkan PBT itu turut mengutip sebanyak RM6.97 juta tunggakan cukai taksiran dalam tempoh sama.

“Kutipan itu merupakan 58.10 peratus daripada jumlah keseluruhan tunggakan cukai taksiran iaitu RM12 juta,” katanya berucap dalam mesyuarat itu hari ini.

Dalam pada itu, Adi Faizal memberitahu pihaknya juga memperoleh sejumlah RM637,107.95 melalui 1,091 transaksi bayaran di portal MyMPS.

Jelasnya, jumlah itu meliputi bayaran sewa gerai sebanyak RM308,644.50, permit bangunan dan perancang (RM198,861.41) serta lesen perniagaan (RM129,602.04).

Orang ramai digalakkan terus menggunakan portal MyMPS untuk membuat semakan, memperbaharui dan membuat bayaran lesen perniagaan, sewaan gerai, permit bangunan serta perancang.


Pengarang :