Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad merasmikan tabung Endowmen MPAJ di Menara MPAJ pada 27 Jun 2023. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ lancar tabung kebajikan, tampung biayai program bersama penduduk

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

AMPANG, 27 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melancarkan tabung Endowmen MPAJ untuk mengumpul dana bagi tujuan kebajikan serta meningkatkan hasil bukan cukai.

Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad berkata sebagai permulaan MPAJ menyumbangkan dana sejumlah RM1 juta kepada tabung berkenaan.

“Endowmen MPAJ ditubuhkan untuk mengumpul dana yang akan dimanfaatkan untuk membiayai sebarang aktiviti atau program kebajikan dan kesejahteraan masyarakat meliputi matlamat pembangunan lestari (SDGs).

“Justeru MPAJ mengalu-alukan sumbangan ikhlas mana-mana pihak yang boleh dilaksanakan secara tunai di kaunter hasil MPAJ, dalam talian, kod QR, kad debit atau kredit, e-dompet, Jompay atau ICOMM MPAJ,” katanya pada majlis perasmian Endowmen MPAJ di Menara MPAJ, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Ani berkata melalui sumbangan tabung itu pihak MPAJ berpeluang melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya membiayai kos pembaikan cerun, pembersihan longkang, menebang dan mencantas pokok.

“Dana itu juga dapat dimanfaatkan untuk membekal peralatan kesihatan di taman awam, menyedia pusat pengumpulan makanan, bantuan kepada yang memerlukan selain menyediakan rumah anjing, kucing dan makanan mereka.

“Endowmen MPAJ yang dirangka pada April 2023 turut mengambil pandangan daripada empat tokoh luar yang berpengalaman serta mahir dalam pengurusan tabung, wakaf atau endowmen,” katanya.

Endowmen MPAJ akan dipantau Jawatankuasa Pemegang Amanah MPAJ dipengerusikan Dr Ani, Setiausaha MPAJ Julaihah Jamaludin sebagai timbalan pengerusi dan tiga ahli majlis MPAJ.


Pengarang :