Kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Daerah Kuala Selangor melawat rumah asnaf dalam kariah Masjid Parit Mahang, Ijok Kuala Selangor pada 28 Jun 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

LZS santuni lapan keluarga asnaf di Parit Mahang, serah alatan ibadah

SHAH ALAM, 30 JUN: Sebanyak lapan keluarga asnaf dalam kariah Masjid Parit Mahang di Ijok disantuni Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi program Ziarah Asnaf kelmarin.

Agensi itu memaklumkan kebanyakan asnaf yang dikunjungi menerima bantuan kewangan bulanan, perubatan berkala dan keperluan pendidikan selain bantuan makanan bulanan dan sewa rumah.

“Mereka sangat terharu dan melahirkan rasa syukur atas bantuan diterima. Terima kasih buat pengeluar zakat, sedikit bagi anda segalanya buat mereka,” katanya menerusi Facebook.

Menurut LZS, kunjungan yang disertai ahli jawatankuasa masjid dan penolong amil kariah turut menyerahkan cenderahati berupa peralatan ibadah untuk semua asnaf.

Dalam pada itu, agensi terbabit dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan turut menyantuni tiga penduduk miskin bandar sekitar Kampung Pandan, Ampang Isnin lalu.

Lawatan turut disertai Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk melihat kediaman yang rosak teruk akibat kerap dilanda ribut selain memantau masalah kesihatan yang dialami.

“LZS terus komited dalam menyantuni insan yang memerlukan dan akan menyemak dari masa ke masa dengan kerjasama agensi berkaitan sebelum bantuan bersesuaian disalurkan,” katanya.

 

 


Pengarang :