SHAH ALAM, 30 JUN: Dato’ Menteri Besar menunaikan solat Jumaat bersama lebih 400 jemaah, di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Shah Alam, di sini, hari ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 1.10 tengah hari, kemudiannya mendengar khutbah bertajuk “Falsafah dan Hikmah Korban”.
Selepas solat, Amirudin melaung takbir raya sempena Aidiladha bersama jemaah yang dipimpin imam masjid, Suhairi Jairi.
Amirudin selepas itu turut mengambil peluang beramah mesra dan mendekati masyarakat termasuk berswafoto bersama sebelum beredar meninggalkan masjid.
Pagi tadi, Amirudin meneruskan kelaziman tradisi ibadah korban sejak 2018 di kediaman rasminya di Seksyen 7 di sini.
Dalam majlis berkenaan beliau turut menyembelih kambing dan bersama-sama petugas korban melapah haiwan.
Sejurus selepas itu, Amirudin meluang masa kira-kira 30 minit membantu petugas korban memasak kari kambing pada Majlis Qurban Perpaduan Pemuda Ampang di Dewan Taman Mulia Jaya, Ampang Jaya.