Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni tetamu yang hadir pada majlis jamuan sempena Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 30 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB rai 300 petugas ibadah korban, nikmati jamuan bersama

SHAH ALAM, 30 JUN: Dato’ Menteri Besar meraikan kira-kira 300 petugas terlibat dalam Ibadah Korban Perdana di kediaman rasminya di Seksyen 7 di sini hari ini.

Petugas terdiri daripada kakitangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Team Selangor dan Angkatan Muda KEADILAN dirai pada jamuan sempena Aidiladha.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak terbabit bertungkus-lumus menyembelih dan melapah tujuh ekor lembu serta tiga ekor kambing termasuk menyiapkan juadah bagi menjayakan acara itu.

“Alhamdulillah ramai hadir pada jamuan hari ini yang dibuat sempena Hari Raya Haji termasuk ahli keluarga dan tetamu jemputan.

Kakitangan anak-anak syarikat kerajaan Negeri yang hadir pada majlis jamuan sempena Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 30 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Acara ini adalah sebahagian daripada ibadah korban yang dilaksanakan pagi tadi dan pihak berkenaan banyak bantu dari awal pagi,” katanya ditemui.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Mohd Yahya Mat Sahri dan pemilik Sri Ternak Group Sdn Bhd Datuk Raymond Ho Chenn Hang.

Antara juadah disajikan kari daging, daging masak hitam, sup daging, kuih-muih dan cendol.

Pagi tadi, Amirudin berkesempatan membantu petugas terbabit menyembelih lembu selain menyertai ibadah korban Perpaduan Pemuda Ampang di Dewan Taman Mulia Jaya, Lembah Jaya, Ampang.

Semalam, beliau turut terlibat dalam program Ziarah Korban Aidiladha di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua merangkumi 12 lokasi.


Pengarang :