Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengagih daging korban kepada penduduk ketika Ziarah Korban di Padang Taman Selaseh Fasa 2, Gombak pada 1 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

400 penduduk Taman Selaseh terima daging korban Yayasan Selgate

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

GOMBAK, 2 JULAI: Sebanyak enam lembu dan tujuh kambing ditumbang dalam program Jelajah Ziarah Korban Aidiladha parlimen Gombak di Padang Taman Selaseh Fasa 2 di sini semalam.

Ahli Majlis Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 5 Majlis Perbandaran Selayang Ruhanah Masruki berkata 400 plastik agihan daging diberi kepada asnaf serta penduduk manakala selebihnya di masak untuk hidangan makan tenghari.

Ruhanah Masruki

“Lembu dan kambing korban adalah sumbangan daripada Yayasan Selgate dan program hari ini melibatkan kerjasama JKP, Wanita Gombak Setia dan Wanita KEADILAN cawangan Gombak serta ahli jawatankuasa Surau Darul Muhaijirin.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar walaupun pagi tadi ada sedikit kejadian kejar mengejar kambing korban, tapi semuanya dalam keadaan terkawal,” katanya.

Ruhanah berharap program seumpama itu dapat dilaksanakan setiap tahun memandangkan ia bukan sahaja mengetengah kemeriahan ibadah korban malah merapatkan silaturrahim pihak yang terlibat.

“Ini pertama kali kita adakan program korban yang mana semua prosesnya dijalankan di sini, jadi untuk tahun ini lebih banyak mendapat kerjasama pelbagai pihak.

“Jadi kita harap, program ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Program yang berlangsung pada jam 2.30 petang itu menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang sempat menyampaikan ucapan sebelum menyerah agihan daging korban kepada penerima.


Pengarang :