Kumpulan Tuna Sinar bersama kumpulan Riadhah bermain muzik cempuling ketika program Jelajah Rentak Selangor di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat pada 20 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ketengah seni cempuling di sekolah, tekad jadikan imej budaya Selangor

SHAH ALAM, 2 JULAI: Seni muzik cempuling dipupuk seawal usia kanak-kanak demi memelihara warisan itu daripada pupus sekali gus menjadikannya imej dan identiti seni dan budaya Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seni cempuling kini diketengahkan di sekolah-sekolah negeri ini bagi mencungkil bakat serta pembangunannya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika di wawancara dalam program Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran langsung dari Teratak Shah Bonda, Tanjung Sepat, Sepang pada 2 Julai 2023. Foto Facebook Amirudin Shari

“Saya sudah minta EXCO kebudayaan dan warisan (Borhan Aman Shah) kembangkan dan perkenalkan budaya ini untuk kita buat pembangunannya di sekolah-sekolah supaya cempuling jadi imej Selangor.

“Bila orang ingat Selangor paling tidak orang ingat cempuling. Alhamdulillah kita sudah buat festival dan mula perkenalkan,” katanya dalam sesi wawancara Selamat Pagi Malaysia khas yang bersiaran secara langsung dari Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, hari ini.

Amirudin berkata Selangor ibarat ‘melting pot’ (periuk lebur) yang mempunyai pelbagai jenis masyarakat dan budaya di dalamnya sekali gus menjadi keistimewaan buat negeri ini.

“Ini agak menarik, Selangor seperti ‘melting pot’ dan tidak tertumpu kepada satu kelompok atau satu keturuan sahaja. Di sini mempunyai banyak keturunan dan kelompok yang mempunyai budaya yang sangat kaya.

“Bukan hanya Melayu Cina dan India, tetapi orang Jawa, Banjar, Orang Asli dan Bugis yang mempunyai kehidupan dan budaya mereka. Selain rakyat negeri lain yang berhijrah ke sini,” katanya.

Persembahan seni cempuling dan muzik asli Selangor daripada Kumpulan Tunas Cempuling dan Muzik Asli Sri Kenchana pada program Silang Budaya ke Indonesia di Malaysia Hall Jakarta pada 9 Jun 2023. Foto Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung Sepat

Pada 9 Jun, Selangor mempromosi seni cempuling ke Indonesia menerusi program Silang Budaya yang membuka peluang masyarakat negara itu mengenali seni dan muzik asli Selangor.

Bertempat di Malaysia Hall Jakarta, persembahan seni cempuling dan muzik asli Selangor dari Kumpulan Tunas Cempuling dan Muzik Asli Sri Kenchana menarik minat peserta dari Indonesia dan mahu mendalami kedua-dua seni budaya itu dengan lebih terperinci.


Pengarang :