Oleh FHATIHAH ZAKINAN
SHAH ALAM, 2 JULAI: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kembali menjelajah ke sembilan lokasi di serata daerah esok selepas berehat selama lima hari sempena Aidiladha.
Menurut Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), sembilan lokasi terbabit termasuklah pasar Seksyen 17, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, tapak parkir pasar pagi, Taman Wawasan (DUN Kinrara), Surau Ar-Rahman, Taman Rawang Perdana 2 (DUN Rawang).
Jualan sama turut berlangsung di Sungai Ramal Luar (DUN Sungai Ramal), Surau Nur Hidayah, Kampung Parit 3 (DUN Sungai Burong), Kampung Cheras Baru Masjid Nurussaadah (DUN Teratai), Dewan MBSA (DUN Sungai Kandis), Hajar Seafood, Kampung Damai Kuang (DUN Kuang) dan Balai MPKK Kerayong 2 (DUN Sementa).
Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
Orang ramai boleh menyemak lokasi terkini JER seluruh negeri, setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS