Oleh AMIRUL FAZLI
SHAH ALAM, 2 JULAI: Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib di Surau Haji Taib Kampung Sungai Buaya, semalam diteruskan meskipun kawasan tersebut dinaiki air paras betis.
Penyandangnya Hasnul Baharuddin berkata lokasi penyembelihan berkenaan bukan kawasan banjir tetapi sedikit rendah dan dinaiki air susulan hujan lebat malam kelmarin.
“Hujan antara 12.00 tengah malam sehingga 4.00 pagi menyebabkan air dari kebun terus ke parit besar di Sungai Langat. Air hujan dari Kampung Sungai Buaya, Kampung Sawah dan Kampung Bandar turut mempengaruhi selain kebetulan pintu kunci air ditutup.
“Kebun yang kita lakukan ibadah korban sedikit rendah menyebabkan air bertakung namun dalam tengah hari air semakin surut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/FB_IMG_1688291911800-500x375.jpg.webp)
Tambah Hasnul, DUN berkenaan menerima enam lembu dan 15 kambing sumbangan Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan tersebut.
Seramai 250 penduduk sekitar mengambil bahagian melaksanakan ibadah korban mulai 7.30 pagi dan siap dibungkus pada 1.00 tengah hari untuk diagihkan kepada penerima.