Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad melihat pelan lokasi pembinaan ketika melawat Projek Pembangunan Persekutuan di Pulau Teluk Renjuna, Tumpat pada 17 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan lulus 42 projek jalan, naik taraf jambatan babit kos RM1.44 bilion di Kelantan

MACHANG, 2 JULAI: Sebanyak 42 projek di bawah Program Jalan dan Jambatan Luar Bandar (JALB) termasuk menaik taraf jambatan sempit melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM1.44 bilion diluluskan di Kelantan.

Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek berkenaan berada di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan dilaksanakan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Bagi 2023, sejumlah RM122.95 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan tiga projek di bawah JALB iaitu Projek Membina Jalan dan Jambatan dari Kampung Joh ke Kampung Belimbing, Projek Membina Jalan dan Jambatan dari Kampung Joh ke Kampung Kuala Sat serta Projek Membina Jalan dari Kampung Joh ke Kampung Mata Ayer, Machang.

“Projek-projek ini akan melengkapkan jaringan jalan alternatif luar bandar melibatkan daerah Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan dan taklimat Projek Pembangunan Persekutuan Tebing Sungai Kelantan Bagi Projek Jambatan di Kampung Joh ke Kampung Belimbing, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata ketiga-tiga projek berkenaan dijangka memendekkan tempoh masa hingga 20 minit dan jarak perjalanan antara tiga jajahan terlibat sejauh 15 kilometer.

Menurut beliau, kerajaan komited dalam mengurangkan jurang infrastruktur perhubungan jalan luar bandar dan wilayah dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan di Kelantan.

“Pelaksanaan projek JALB akan memberi impak pembangunan, melancarkan aliran trafik dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi serta sosial terutama di Machang, sekali gus menafikan naratif bandar mati,” katanya.

Terdahulu, Nik Nazmi turut mengadakan lawatan dan pemantauan Projek Pembesaran dan Menaik Taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Projek Pembinaan Taman Sistem Binaan Berindustri (IBS) Labok, di sini.

– BERNAMA


Pengarang :