PBTSELANGOR

MBSA saran bawa beg guna semula, langkah hapus beg plastik 2025

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggalakkan orang ramai membawa beg guna semula ketika membeli belah di kawasan pentadbirannya sekali gus menyokong sambutan Hari Tanpa Beg Plastik Antarabangsa yang disambut 3 Julai setiap tahun.

MBSA berkata, usaha itu sebagai tanda sokongan kepada kempen menghapuskan sepenuhnya penggunaan beg plastik menjelang 2025.

“MBSA melalui projek rintis di CAP SEA (Collaboration Actions for Single-Use Plastic Prevention in South East Asia), kini telah memperluaskan pencegahan plastik sekali guna di beberapa lokasi.

“Tahun lepas mereka bermula dengan bangunan pejabat utama mereka dan mengembangkan usaha ke kawasan perumahan tempatan, perniagaan kecil, sekolah dan universiti. Beberapa kedai telah berhenti sepenuhnya memberikan beg plastik kepada pelanggan,” kata MBSA menerusi Facebook.

MBSA akan meneruskan usaha di bandar Shah Alam untuk mengurangkan dan akhirnya mengharamkan plastik sekali guna melalui peningkatan kesedaran kepada orang ramai selaras dengan aspirasi Malaysia “Tiada Beg Plastik” menjelang 2025.

Selangor tidak menggunakan beg plastik sejak 2009 dan menjadi antara negeri selepas Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan, paling ke depan dan aktif apabila Kempen Tiada Plastik dilancarkan pada 2018.


Pengarang :