Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengeluarkan saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dalam Operasi Khas Aidiladha Siri 2/2023 di Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada 2 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh kesalahan paling banyak dikesan

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Sebanyak 1,286 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam Op Khas Motosikal Sempena Hari Raya Aidiladha bermula Selasa lalu.

Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Erick Jusiang berkata tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh merupakan dua kesalahan paling banyak dikesan dalam operasi dari 27 dan 28 Jun serta 1 dan 2 Julai itu.

“Kesalahan tidak mempunyai lesen memandu melibatkan 535 saman dan cukai jalan tamat tempoh pula 237 saman.

“Lain-lain kesalahan pula antaranya melibatkan tiada insurans (204), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (115) dan tiada cermin sisi (58),” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi sekatan jalan raya di Jalan Pahang di sini.

Beliau menasihati orang ramai agar memastikan cukai jalan kenderaan sentiasa diperbaharui walaupun kerajaan kini tidak mewajibkan ia dipamerkan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan seperti sita.

Erick juga berkata dalam operasi yang turut disertaiJabatan Imigresen itu, 70 warga asing berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Warga asing yang ditahan melibatkan 59 lelaki serta 11 wanita dan mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi proses dokumentasi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :