Anggota polis trafik memeriksa motosikal ketika menjalankan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang pada 3 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Operasi hormat undang-undang jalan raya didik pengguna patuhi peraturan

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Polis Kuala Lumpur melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di sekitar ibu negara bagi memberi pendedahan, kesedaran dan pendidikan kepada pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata operasi sebegini dilaksanakan untuk meningkatkan lagi kesedaran pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang jalan raya yang ketika ini dilihat sering dipandang ringan.

Beliau berkata operasi dilakukan selama sebulan bermula Sabtu lalu hingga 31 Julai ini dengan memberi keutamaan kepada tiga fokus iaitu langgar lampu merah, membuat pusingan U di lokasi tidak sepatutnya dan memberhentikan kenderaan di petak kuning.

“Buat pertama kali (hari ini), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur melaksanakan operasi ini pada waktu puncak (bagi mendidik orang ramai supaya membudayakan dan memartabatkan undang-undang).

“Waktu puncak atau tidak, kesalahan itu tetap dilakukan pengguna jalan raya dengan begitu kerap (seperti langgar lampu merah dan memberhentikan kenderaan di petak kuning).

“Apa yang kami buat hari ini adalah untuk menguatkuasakan undang-undang dan menyelaraskan lalu lintas dengan dua pasukan ditugaskan iaitu pasukan penguat kuasa serta pasukan mengawal lalu lintas,” katanya ketika ditemui ketika operasi di sekitar Bukit Bintang di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata operasi hari ini dilaksanakan di 16 lokasi yang dikenal pasti di sekitar ibu negara dan setiap lokasi berbeza setiap hari sepanjang operasi dilaksanakan dalam tempoh sebulan ini.

Beliau berkata ibu negara kini terserlah dengan pelbagai bangunan tersergam indah dengan pembangunan infrastruktur pada tahap kelas pertama namun mentaliti pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang masih rendah.

“Kita ambil contoh, ada pemandu kereta yang kita lihat tadi menekan hon supaya kenderaan di hadapannya meneruskan perjalanan sedangkan lampu merah dengan alasan sebelum ini ‘boleh sahaja jalan’,” katanya.

Beliau berkata operasi hari ini juga turut dijalankan di Desa Aman, Bukit Kerinchi dan Desa Tasik, Sungai Besi yang merupakan kawasan penempatan pegawai dan anggota polis.

“Kami tidak mahu sekadar membimbing orang ramai tetapi juga mendidik pegawai dan anggota kami supaya mereka juga mematuhi undang-undang. Pada masa sama, kami juga menumpukan penunggang motosikal warga asing yang tidak mempunyai lesen (memandu) yang sudah semestinya tidak mempunyai insurans,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :