Penduduk mendapatkan barangan asas pada harga murah pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Teratai di Masjid Nurussaadah, Ampang Jaya pada 3 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

DUN Hulu Bernam, Jeram antara sembilan lokasi jualan murah esok

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 3 JULAI : Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke sembilan lagi lokasi esok.

Bermula pada 10 pagi hingga 1 tengah hari, jualan murah berkenaan dijadual berlangsung di Masjid Jamiul Hasaniah, Batu Tiga bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa dan Pusat Desa Kampung Sungai Gulang-Gulang (DUN Permatang).

Jualan sama turut diadakan di Kampung Baru A, Kerling (DUN Hulu Bernam), Flat Bistari (DUN Bukit Gasing) dan Arena Square Bukit Kapar (DUN Meru).

Program turut berlangsung di hadapan Sekolah Kebangsaan Pandan Indah (DUN Pandan Indah), pekarangan rumah MPKK Kampung Bukit Hijau (DUN Jeram), Dewan MPKK Kampung Lombong (DUN Sungai Kandis) dan Seksyen 7 (DUN Sungai Ramal).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Jualan murah itu adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup.

Ketua pegawai eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata seramai empat juta penduduk Selangor menerima manfaat JER sejak dianjurkan pada Setember tahun lalu hingga kini.

Jualan murah berkenaan turut memberi penjimatan RM23 juta menerusi pemberian subsidi oleh Kerajaan Negeri dan PKPS menerima jumlah jualan RM45 juta dalam tempoh sama.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :