Peserta menghadiri temu duga sempena program Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Taman Gombak, Gombak 4 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hampir 900 individu dapat kerja melalui Jelajah JobCare tahun lalu

SHAH ALAM, 3 JULAI: Seramai 892 peserta mendapat pekerjaan melalui Jelajah JobCare anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di sembilan lokasi tahun lalu.

Ketua Penyelarasnya Vijayan Subramaniam menyifatkan angka itu sebagai petanda positif dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran di Selangor yang kini mencatat 2.6 peratus.

Ketua Penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) Vijayan Subramaniam bercakap pada sidang media Jelajah JobCare di ibu pejabat UPPS, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 23 Februari 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Di setiap daerah dianggarkan antara 90 hingga 100 individu ditawar kerja dalam pelbagai bidang. Kita menganggap siri pertama tahun lalu berjaya, apatah lagi ramai yang berdepan kesukaran mencari kerja pada waktu itu.

“Kita harap angka itu bertambah menerusi penganjuran sama tidak lama lagi, sekali gus menyahut seruan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk mengekalkan kadar pengangguran bawah tiga peratus,” katanya ketika dihubungi.

Memasuki tahun kedua penganjuran, Jelajah JobCare di sembilan daerah mulai 22 Julai menawarkan 20,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor, berbanding 3,000 pada edisi lepas.

Inisiatif dengan kerjasama bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disertai 120 syarikat tempatan antaranya sektor pembuatan, pelancongan dan pengangkutan.

Sebahagian peserta yang menghadiri temu duga pada program Jelajah JobCare di Dewan Utama Demesne, Hulu Langat pada 21 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain jelajah seumpama itu, Vijayan memberitahu pihaknya turut mengadakan temu duga secara hibrid dan terus di pejabat UPPS di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini tahun lepas.

Beliau memaklumkan kaedah itu berjaya menghimpunkan kira-kira 2,000 pencari kerja daripada golongan berkemahiran rendah, sederhana dan tinggi.


Pengarang :