Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada 7 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Lelaki direman tujuh hari kes tikam bekas isteri hingga maut

KOTA BHARU, 3 JULAI: Seorang lelaki direman tujuh hari bermula semalam selepas disyaki menikam bekas isterinya Rokiah Ayub, 42, sehingga maut di sebuah rumah di Taman Desa Darul Naim, Pasir Tumboh di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berusia 51 tahun itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Lelaki tersebut direman hingga Sabtu ini dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam seorang wanita berusia 42 tahun yang juga ibu tunggal tiga anak berusia antara 14 hingga 24 tahun maut disyaki ditikam bekas suaminya di sebuah rumah sewa di Taman Desa Darul Naim.

Dalam insiden itu, suspek yang juga bekas suami mangsa turut cedera parah selepas dipercayai menikam dirinya sendiri dalam kejadian 4 pagi itu.

– BERNAMA


Pengarang :