AGENDANASIONAL

Enam daerah di Selangor, Kuala Lumpur diramal ribut petir hingga 8 malam

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 4 JULAI: Enam daerah di Selangor dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 8 malam ini.

Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan daerah terbabit adalah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat.

Menurut agensi itu menerusi Facebook, cuaca sama dijangka melanda Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perlis selain beberapa kawasan di Kedah, Perak dan Kelantan.

Beberapa daerah di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah turut mengalami keadaan sama.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :