Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kajian: 60 NGO dapati Selangor negeri paling demokrasi

SHAH ALAM, 4 JULAI: Selangor diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) mendahului kedudukan teratas Dewan Undangan Negeri paling demokrasi hasil kajian dibuat gabungan 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Bahagian Reformasi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pertubuhan masyarakat sivil (CSO) Tharma Pilai berkata kajian menunjukkan Dewan Negeri Selangor (DNS) mencatat 69 peratus diikuti Perak dan Negeri Sembilan, masing-masing 60 peratus dan 54 peratus.

Keputusan menerusi inisiatif badan pemerhati demokrasi itu meletakkan Pahang di tangga ke empat dengan 53 peratus dan Pulau Pinang 52 peratus.

“DUN Selangor menunjukkan prestasi membanggakan dengan memenuhi parameter ditetapkan dan menjadi peneraju seperti peruntukan sama rata untuk pembangunan kawasan pilihan raya.

“Tempoh persidangan DNS juga berjalan paling lama setiap penggal iaitu 22 hari berbanding dewan negeri lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Tiga negeri mencatat skor indeks demokrasi terendah iaitu Perlis dengan 34 peratus, Terengganu (37 peratus) dan Sabah (40 peratus) berikutan kegagalan melaksanakan reformasi dalam Dewan Negeri.

Beliau menjelaskan pengerusi jawatankuasa kira-kira Wang negeri terbabit dilantik daripada blok pembangkang selain ketidaksamarataan agihan peruntukan pembangunan kawasan.

Berdasarkan kajian itu juga, Tharma berkata landskap politik negara menunjukkan jurang perbezaan kerana tidak semua badan perundangan negeri menerima agenda reformasi sama.

Selain itu, katanya beberapa negeri tidak membahas Undang-Undang Lompat Parti seperti dilulus Dewan Rakyat kecuali Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak yang menguatkuasakan undang-undang berkenaan.


Pengarang :