Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (lima, kanan) bersama penerima bantuan makanan berkhasiat Anak Selangor Anak Sihat (ASAS). Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
AGENSISELANGOR

2,800 pek makanan berkhasiat diagih, elak tumbesaran kanak-kanak terbantut, kurang zat

SHAH ALAM, 4 JULAI: Sebanyak 2,800 pek makanan berkhasiat Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) akan diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah hujung bulan ini.

Ahli Penasihat Kesihatan Awam Negeri Dr Mohammad Farhan Rusli berkata agihan dilakukan berperingkat dengan lokasi pertama melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Gombak.

“Semua 56 DUN akan terima 50 pek makanan untuk diberi kepada keluarga yang sudah dikenalpasti. Kita utamakan keluarga yang memiliki anak berdepan masalah kesihatan.

“Selepas pelancaran di Gombak, agihan akan terus dibuat ke lapan daerah lain. Kita cuba membantu kanak-kanak yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi.

Dr Mohammad Farhan berkata pek makanan terbabit mengandungi susu tepung penuh krim, biskut, bijirin dan multivitamin.

“Ini sebagai langkah untuk kita didik ibu bapa makanan apa sesuai untuk anak mereka. Ibu bapa juga diajar cara penyediaan makanan berkhasiat oleh pakar,” katanya.

Tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bantuan nutrisi makanan selama 10 bulan bagi mengelak isu tumbesaran terbantut dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah.


Pengarang :