EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kiri) meninjau projek pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerja turap lebih 100 jalan dilaksana ikut jadual, jangka siap hujung bulan ini

SHAH ALAM, 5 JULAI: Projek turapan secara besar-besaran melibatkan 118 jalan di negeri ini dijangka siap hujung bulan ini seperti dijadualkan, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata setakat ini Projek Turapan Mega yang bermula bulan lepas dengan kos RM50 juta itu berjalan lancar serta mencapai tahap 25 peratus.

“Projek ini membabitkan jalan PBT (pihak berkuasa tempatan), jabatan kerja raya, jabatan pengairan dan saliran serta bawah daerah. Fasa satu dan dua hampir selesai.

“Sekarang kita laksanakan fasa tiga hingga lima. Semua jalan dicadangkan sebelum jawatan kuasa membuat penilaian. Kita tampal dahulu sebelum turap untuk pastikan kekemasan jalan,” katanya.

Terdahulu beliau meninjau kerja pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Puncak Perdana di sini, hari ini.

Izham berkata kontraktor projek berkenaan turut bertanggungjawab menyelia kerja penyelanggaraan jalan terbabit.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Negeri menambah peruntukan RM15 juta bagi melaksanakan kerja menilai keadaan jalan serta cerapan laluan baharu.

“Daripada jumlah itu RM10 juga untuk menilai lebih lanjut keadaan jalan bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala RM5 juta untuk daftar jalan baharu dengan Sistem Maklumat Jalan Raya Malaysia (MARRIS),” katanya.

Bermula 2 Jun, kerja turapan jalan rosak secara besar-besaran dijalankan di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer bagi memastikan keadaan jalan baik sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan kemalangan.

Bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan di negeri ini, sistem aduan kerosakan juga diperluas ke Facebook untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Cadangan itu tambahan kepada penggunaan Twitter dan aplikasi penyelenggara jalan raya negeri yang dikendalikan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel bagi memastikan keselesaan pengguna. Semua jalan berlubang itu dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai.

 


Pengarang :