EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kiri) meninjau projek pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri salur RM3 juta lebar jalan Persiaran Mokhtar Dahari, rungkai isu trafik sesak

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kesesakan trafik yang teruk pada waktu puncak di Persiaran Mokhtar Dahari di sini diatasi menerusi projek pelebaran jalan dengan peruntukan RM3 juta daripada Kerajaan Negeri.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata projek melibatkan jalan dua lorong sepanjang satu kilometer itu merupakan langkah jangka pendek yang dijangka siap hujung tahun ini.

Exco Infrastruktur Dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim ditemui selepas meninjau projek pelebaran jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Untuk jangka panjang, kita akan tambah satu lagi lorong di kedua-dua hala memandangkan ini merupakan jalan utama selain lokasi pertembungan dengan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

“Projek akan berjalan dua tahun lagi dengan anggaran RM20 juta termasuk kos utitiliti. Bagaimanapun (projek ini) ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan syarikat Teguh Mantap yang memajukan kawasan berkenaan,” katanya.

Terdahulu beliau meninjau kerja pelebaran di sini hari ini yang turut disertai Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusuf dan penyandang kerusi Kota Anggerik Najwan Halimi.

Bermula November tahun lalu, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif membuka laluan kontra di persiaran berkenaan bagi mengatasi kesesakan teruk di kawasan tersebut.

Ia susulan rungutan lebih 100,000 pengguna laluan terbabit berhubung perkara itu terutama ketika waktu puncak selain faktor pembukaan DASH.

 

 


Pengarang :