Jatt (Black Dog Bone) ketika ditemu bual Media Selangor selepas sidang media konsert Semangat Zaman di Kota Permai Golf & Country Resort, Kota Kemuning, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jatt Ali lebih popular selepas sertai program realiti, diminati golongan muda

OLEH JULIANA JOHAR

SHAH ALAM, 5 JULAI: Vokalis kumpulan Black Dog Bone Jatt Ali tidak menyangka diminati ramai golongan muda sejak penglibatannya dalam program realiti Projek Bapak-Bapak 2023.

Projek tersebut yang disiarkan di Astro memaparkan gelagat lucu empat sekawan iaitu Jatt bersama pelakon Dato’ Jalaluddin Hassan, Dato’ Ramli MS dan Roy Azman ketika bercuti di Jepun.

Ditemui selepas pelancaran konsert Semangat Zaman di sini semalam, penyanyi berusia 67 tahun itu mendedahkan ramai peminat muda mengikuti Instagramnya susulan program tersebut.

“Itu merupakan program realiti pertama yang pernah saya terlibat. Sejak rancangan itu disiarkan, saya banyak dapat peminat muda. Mereka mula ikuti Instagram saya.

“Rata-rata peminat cakap mereka suka tengok Projek Bapak-Bapak sampaikan baru-baru ini saya buat persembahan di Perth, Australia pun peminat di sana cakap mereka terhibur,” katanya.

Selain Jatt, konsert yang dijadual berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 29 September bakal menampilkan tujuh lagi penyanyi kumpulan rock tanah air seperti Aris Ariwatan dan Yantzen.

Turut dijadual membuat persembahan ialah Dato’ Nash dari kumpulan Lefthanded, Joey (Bumiputera Rockers), Rahmad (Mega), Muss dan Bandi (Amuk).

Bercakap mengenai konsert tersebut, Jatt percaya penyanyi senior masih relevan dalam industri muzik tempatan dan bakal mendapat sambutan baik peminat.

“Saya percaya artis rock kapak masih relevan. Tengok konsert Ella hari itu, penuh. Anak muda layan lagu rock kapak dan konsert ini masanya untuk kita mengembalikan kegemilangan muzik dulu-dulu,” katanya.

Tiket berharga RM208 hingga RM328 akan mula dijual pada 15 Julai ini di my.bookmyshow.com.


Pengarang :