Mayat kesembilan tragedi kepala air Jeram Air Putih ditemukan 9.20 pagi, 7 Julai 2023, dua kilometer dari lokasi kejadian. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Mayat kesembilan tragedi kepala air ditemukan, operasi diteruskan cari mangsa terakhir

CHUKAI, 7 JULAI: Satu lagi mayat dipercayai mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, di sini ditemukan 9.20 pagi tadi di Sektor A kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mayat dipercayai lelaki dewasa itu dijumpai terdampar di tebing pasir, dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat berjaya dikeluarkan pada 11.20 pagi tadi.

“Identiti mangsa belum dikenal pasti dan mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk pengecaman oleh waris,” katanya di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih di sini hari ini.

Walaupun identiti berkenaan belum disahkan, polis tidak menolak kemungkinan ia mayat Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor.

Hanyan berkata dengan penemuan mayat kesembilan itu, operasi SAR diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa, Putri Nor Fatin Karim, 14, dengan pencarian ditumpukan di sektor A.

“Pasukan SAR tetap menjalankan pencarian di sektor B dan C dengan dibantu orang awam dan penduduk kampung bagi mengesan Putri Nor Fatin atau sehingga menjumpai sebarang petunjuk baharu,” katanya.

Pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih Kemaman di Kampung Teladas pada 6 Julai 2023. Foto Bernama

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan II Azman Alias berkata usaha pencarian seterusnya akan bermula satu kilometer dari lokasi kenderaan mangsa ditemukan dan kerja ‘sweeping’ dilakukan semula di sektor A.

Beliau berkata keadaan cuaca baik hari ini menyebabkan keadaan jeram kembali normal dan air sungai semakin jernih membantu memudahkan operasi SAR termasuk kerja penyelaman.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dan Muhammad Fikri dikatakan pergi berkelah di jeram berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Jenazah tujuh daripada sembilan sekeluarga yang terkorban iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selamat dikebumikan pada Selasa lepas di Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir 3, Kuantan.

Jenazah mangsa kelapan, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, pula selamat dikebumikan bersebelahan kubur ibu bapa dan lima beradiknya pada Rabu.

– BERNAMA


Pengarang :