Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

988 sekolah terima bantuan RM26.5 juta, tertinggi dalam 14 tahun

SHAH ALAM, 7 JULAI: Bantuan bernilai RM26.5 juta diagih kepada 988 institusi pendidikan pelbagai aliran termasuk sekolah kebangsaan di Selangor sepanjang tahun ini, tertinggi dalam tempoh 14 tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif yang dimulakan sejak 2009 melalui dana RM6.4 juta bertujuan menyediakan persekitaran selesa kepada guru dan murid.

Menjelaskan nilai keseluruhan sumbangan kepada institusi tersebut sejak 2009 berjumlah RM260 juta, beliau berkata peruntukan RM25 juta turut dihulur pada tahun lalu.

Katanya, sekolah kebangsaan buat pertama kali turut dirangkum untuk menerima bantuan tersebut meskipun kerajaan persekutuan ada menambah peruntukan RM100 juta untuk prasarana institusi tersebut.

“Saban tahun, kita tidak pernah gagal menyumbang kepada sekolah-sekolah di Selangor. Saya harap, ia sedikit sebanyak dapat membantu.

“Jumlah bantuan dan jumlah penerima bantuan persekolahan terbesar dalam sejarah Selangor bukti Pakatan Harapan mementingkan agenda pendidikan anak-anak Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvesyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama sebahagian pendidik selepas penyampaian Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dalam Belanjawan Selangor 2023, Amirudin mengumumkan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor diteruskan dengan tambahan peruntukan berjumlah RM26.5 juta.

Tambahan dana berkenaan mengambil kira permohonan dan keperluan yang semakin meningkat setiap tahun termasuk sekolah yang terjejas banjir sebelum ini.


Pengarang :