SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerajaan Negeri meluluskan permohonan tanah kira-kira 0.14 ekar kepada Pusat Pendidikan Al-Amin (Al-Amin), Gombak bagi naik taraf kemudahan pendidikan agama itu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kelulusan yang diberi kepada sekolah agama persendirian itu membantu institusi tersebut memperbesar saiz sekolah.
Beliau menambah pusat pendidikan tersebut membuat permohonan tersebut kira-kira dua tahun lalu sebelum diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini.
“Al Amin sudah beroperasi sejak tahun 90-an dan ia telah banyak lahirkan ramai pelajar dan pemimpin. Mereka hanya mahu besarkan atas keperluannya,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menghadiri majlis penyerahan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvesyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.
Al-Amin ditubuh bagi memperkasakan mutu pendidikan Islam melalui Sistem Pendidikan Islam Bersepadu seterusnya melahirkan kelompok pelapis intelektual Islam.