Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa melakukan gimik pelancaran Madani Afiat dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 One Hour Malaysia Clean Up Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 9 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sedia kongsi pengalaman bantu KKM urus pendigitalan rekod kesihatan rakyat

GOMBAK, 9 JULAI: Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke arah memperkasa usaha pendigitalan rekod maklumat kesihatan rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata pengalaman Selangor menguruskan rekod maklumat kesihatan rakyatnya secara digital menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dimanfaatkan untuk tujuan itu.

“SELangkah yang kini digunakan kira-kira 50 peratus rakyat menyimpan rekod kesihatan rakyat secara digital dan boleh diakses di mana-mana. Kita pergi ke arah digital bukan hanya untuk simpanan rekod tetapi tetapi mempermudahkan mereka.

“Contohnya jika bergerak daripada satu hospital ke hospital yang mempunyai jaringan berbeza data mereka boleh diakses,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada majlis pelancaran program Madani Afiat yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa melakukan gimik pelepasan Mobilisasi Jururawat Pelatih sempena Madani Afiat dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 One Hour Malaysia Clean Up Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 9 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Berlangsung di Dewan Rakyat Batu Caves di sini, program yang bermula 7.00 pagi menerima kunjungan lebih 3,000 orang ramai bagi mengikuti pelbagai acara termasuk pemeriksaan gigi, ujian mengesan barah pangkal rahim dan payudara secara percuma.

Menurut Amirudin, bermula akhir tahun ini SELangkah dijangka menjadi platform pengumpulan rekod kesihatan seluruh rakyat Selangor untuk rawatan kesihatan lebih cekap.

“Dalam dua Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir kita telah meluluskan satu lagi dasar memastikan SELangkah yang ketika pandemik Covid-19 sebagai peranti pengesanan kontak sekarang menjadi peranti menyimpan data kesihatan.

“Selain berkongsi maklumat kesihatan ia juga boleh memendekkan tugas doktor di institusi kesihatan kerana segala maklumat pesakit ada dalam aplikasi itu.

“Ia juga bakal mewujudkan analisa kesihatan lebih tepat dan cepat bagi seseorang pesakit supaya (rawatan dapat diberikan segera),” katanya.

Aplikasi SELangkah yang dibangunkan Kerajaan Negeri memudahkan orang ramai menyemak rekod berkaitan usaha menangani penyebaran Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI

Selain itu, katanya kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri juga penting dalam memperkasa sektor kesihatan awam termasuk memerangi wabak denggi.

“Mungkin dalam tempoh dua tahun mendatang kita akan wajibkan semua pihak PBT untuk mempunyai doktor yang mempunyai latihan ikhtisas dan kemahiran daripada kesihatan awam.

“Kesihatan awam lebih menjurus kepada pembentukan sikap komuniti dan masyarakat yang ada sekarang ini hanya kita semak kebersihan premis makanan dan sebagainya sedangkan ia lebih daripada itu,” katanya.


Pengarang :