Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Kerani akaun rugi RM92,540 ditipu sindiket pelaburan saham tak wujud

KUANTAN, 9 JULAI: Wang simpanan RM92,540 milik kerani akaun lesap selepas wanita itu terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud menerusi laman Facebook pada Mac lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata mangsa berusia 52 tahun melayari laman sosial tersebut dan tertarik mengenai pelaburan saham yang ditawarkan sebelum menekan pautan yang disertakan.

“Akibat terpengaruh dengan tawaran keuntungan lumayan, mangsa membuat 12 transaksi ke empat akaun bank berlainan dalam tempoh empat bulan sebelum menyedari dirinya terperdaya kerana tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan skim pelaburan melalui media sosial dan memaklumkan syarikat atau individu yang tidak diberi lesen atau kebenaran dari Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti tidak boleh menerima deposit dari mana-mana pihak.

– BERNAMA


Pengarang :