AGENDANASIONAL

Belanja RM50 beli lima jenis barangan, JER bantu golongan B40 berjimat

Oleh JULIANA JOHAR

SHAH ALAM, 10 JULAI: Penduduk di sekitar Bukit Subang sangat menghargai program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri yang dianjur hampir setiap hari sejak tahun lepas.

Pembeli Shafinaz Salleh, 43, yang ditemui pada program tersebut di Tapak Pasar Malam, Taman Bukit Subang di sini, pagi ini, berkata inisiatif tersebut amat meringankan beban golongan suri rumah sepertinya.

Shahfinaz Salleh. Foto Afendi Mohamed/Selangorkini

“Program JER memang sangat membantu kerana saya tidak bekerja, hanya suami (bekerja).

“Hari ini saya belanja RM50 dah boleh dapat lima makanan asas seperti dua ekor ayam, dua papan telur dan sekampit beras. Harga sebegini tidak akan dapat di tempat-tempat lain,” katanya.

Sementara itu, Khairul Syafiq Suhaimi, 23, berkata golongan bujang sepertinya juga tidak mahu melepaskan peluang membeli ayam yang dijual murah.

“Walaupun pembeli dihadkan untuk dua ekor ayam sahaja bagi seorang pembeli, harganya sangat ok sebab itu saya selalu beli (di program jualan murah). Jadi sebagai langkah penjimatan, memang dah jarang makan di luar sebaliknya masak dan makan di rumah sahaja,” katanya.

Khairul Shafiq Suhaimi. Foto JULIANA JOHAR/SELANGORKINI

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof teruja melihat program jualan murah semakin mendapat sambutan termasuk program di sini dengan kehadiran lebih 300 penduduk.

“Alhamdulillah, program jualan murah semakin meluas, pengunjung semakin bertambah di setiap lokasi penganjuran termasuk di sini walaupun ia dianjurkan pada hari bekerja.

“Semoga program ini terus memberi manfaat dan membantu seramai mungkin penduduk terutamanya mereka yang memerlukan” katanya.

Jualan murah itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Ahli Parlimen Shah Alam Azli Tusof. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Jualan Ehsan Rahmah (JER) adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat yang dijenamakan semula dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

 

Orang ramai membeli barangan keperluan dapur di tapak pasar malam Bukit Subang, DUN Kota Anggerik, Parlimen Shah Alam pada 10 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Pengarang :