Penduduk tiadak melepaskan peluang membeli barangan keperluan dapur pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sementa, Klang pada 3 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS bawa barangan kering ke jualan murah DUN Sementa

SHAH ALAM, 11 JULAI: Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri Sementa menyediakan barangan kering kepada penduduk sepanjang berlangsungnya program tersebut.

Penyelaras DUN Afrishah Azizi berkata antara barangan tersebut ialah kicap, bihun dan biskut keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kita mengadakan perbincangan dengan PKPS supaya mereka dapat bawa barangan kering kepada penduduk setempat. Alhamdulillah, bermula hari ini di Klang Perdana PKPS membawa barangan kering kepada penduduk.

Penyelaras DUN Sementa Afrishah Azizi

“Bukan hari ini sahaja, untuk lokasi seterusnya barangan tersebut bergantung kepada bekalan daripada PKPS sepanjang Julai ini,” katanya ketika dihubungi.

Afrishah memaklumkan tiga lagi lokasi JER akan diadakan di Bukit Kapar pada 15 Julai, Rantau Panjang (17 Julai) dan Tok Muda (18 Julai).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :