Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di tapak pasar malam Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 27 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS jual minyak masak paket RM2 di jualan murah mulai 15 Julai

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 5 JULAI : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mula menjual minyak masak paket satu kg dengan harga RM2 di Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada 15 Julai ini.

Pengurus Kanan Pemasarannya Mohd Fazir Abdul Latif berkata buat permulaan minyak paket itu dijual secara berperingkat di tiga lokasi JER terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

“Jualan gula paket satu kg pula akan dimulakan selepas stok selesai diselaraskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 21 Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi memaklumkan PKPS bakal menambah dua lagi barangan keperluan asas di JER iaitu minyak paket dan gula satu kilogram mulai Julai.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Barangan sedia ada yang dijual ialah ayam RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Program kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran untuk membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :