Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa Afrishah Azizi meninjau kerja menurap jalan di bawah projek Selangor Penyayang. Foto ihsan pejabat DUN Sementa
ADNSELANGOR

Dana RM500,000 turap 11 jalan di DUN Sementa, jangka siap hujung bulan ini

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sejumlah RM500,000 diperuntuk untuk menurap 11 jalan raya di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di bawah Projek Selangor Penyayang, kata penyelarasnya.

Afrishah Azizi berkata kerja turapan dijangka selesai penghujung bulan ini dan diharap akan memberi keselesaan kepada penduduk yang menggunakan laluan tersebut.

“Kita fokuskan jalan raya yang sering digunakan masyarakat tetapi tidak berada dalam keadaan memuaskan dan boleh mengancam keselamatan.

“Buat masa ini kita sedang menurap jalan di Tok Muda, Kapar yang menjadi penghubung ke Sungai Serdang. Selain itu, kita juga turap di sekitar kawasan persekolahan dan perkuburan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata selain turapan jalan, pemantauan sistem perparitan turut dilakukan bagi memastikan tiada saliran yang tersumbat sekaligus mengelak berlaku banjir.

“Sekiranya longkang tidak berada dalam keadaan memuaskan kita akan maklumkan kepada pihak berkenaan supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sejumlah RM28 juta diperuntukkan di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

Jalan raya di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa diturap di bawah projek Selangor Penyayang. Foto ihsan pejabat DUN Sementa

Pengarang :