HULU LANGAT, 11 JULAI: Kerja naik taraf dan pembinaan kemudahan awam di Laman Niaga Komuniti Sungai Long bakal memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung di situ.
Peniaga makanan vegetarian Lou Siew Mee, 54, berkata pembaikan yang diumum termasuk menggantikan bumbung kanvas yang kerap bocor melegakan mereka terutama ketika hujan lebat.
“Mereka kata nak bina bumbung lebih baik berbanding kanvas ketika ini, jadi lebih tahan lama dan kurang risiko untuk bocor. Bila hujan, air masuk dan terkena barang jualan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/P-Sentuhan-Kasih-2-500x333.jpg.webp)
Terdahulu, menteri pembangunan kerajaan tempatan mengumumkan dana RM8.24 juta bagi pelaksanaan enam projek menaik taraf kemudahan di Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.
Nga Kor Ming memaklumkan sebanyak RM650,000 diperuntuk bagi pembinaan pejabat pengurusan, tandas awam, tempat pembuangan sampah dan struktur berbumbung di Laman Niaga Komuniti Sungai Long.
Turut diselenggara ialah Pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan berjumlah RM300,000 selain kerja kecemasan pembaikan cerun runtuh di Taman Sri Raya Cheras (RM1.5 juta).
Pembaikan juga dibuat di Taman Bukit Mewah Kajang (RM2 juta) dan Taman Lagenda Cheras (RM3 juta).
Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menyambut baik agihan dana untuk menaik taraf kemudahan di semua kawasan dinyatakan, yang akan memanfaatkan banyak pihak.
“Di sini terdapat kira-kira 130 peniaga, jadi dengan adanya struktur berbumbung serta kemudahan lain, ia akan memberi lebih keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.
“Untuk peruntukan lain seperti pembaikan cerun di Taman Bukit Mewah, contohnya kita sudah lama mahukan dana dan bersyukur akhirnya kerja pembaikan boleh dimulakan,” katanya.