Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming beramah mesra bersama peniaga ketika Lawatan kerja ‘Program Sentuhan Kasih’ KPKT ke Selangor di Tapak Laman Niaga Komuniti Sungai Long, Hulu Langat pada 11 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: RM300,000 diperuntuk naik taraf pasar awam di Seri Kembangan

Oleh Fhatihah Zakinan

SERI KEMBANGAN, 11 JULAI: Sejumlah RM300,000 diperuntuk untuk menaik taraf Pasar Awam Bazar Rakyat di Jalan SK 6/1, di sini, kata menteri pembangunan kerajaan tempatan.

Nga Kor Ming berkata usaha kementerian dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melibatkan kerja mengecat dinding, baik pulih kerangka dan pintu besi serta menyelenggara longkang.

“Kerajaan persekutuan berusaha menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam ke arah memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

“Ia juga memastikan kesinambungan dasar mesra rakyat dapat diteruskan bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara,” katanya

Beliau ditemui pemberita sempena program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Selangor di sini, yang turut diiringi Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.

Terdahulu, Kor Ming turut meninjau Taman Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi, diikuti Pasar Bazar Rakyat Seri Kembangan, di sini sebelum meneruskan lawatan kerja ke tapak Laman Niaga Komuniti Sungai Long.

Beliau menambah, menerusi siri lawatan kerja itu, KPKT sudah menjelajah ke sembilan negeri dengan memperuntukkan sehingga RM700 juta dan Selangor menerima kira-kira RM8.24 juta bagi menaik taraf, menyelenggara infrastruktur awam melibatkan enam projek di negeri ini.

 


Pengarang :