Penduduk membeli barangan keperluan dapur pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Hulu Selangor di Dataran Niaga Serendah, Rawang pada 25 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bangi, Ampang, Kapar antara lokasi jualan murah barangan dapur esok

Oleh Juliana Johar

SHAH ALAM, 11 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menawarkan barangan keperluan dapur pada harga murah diteruskan ke sembilan lokasi esok.

Program dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari diadakan di tapak pasar malam Felda Gedangsa (Parlimen Hulu Selangor), tapak futsal PKNS Bangi (Parlimen Bangi), pekarangan Rumah Sidang Sedek, Kampung Bagan Wira (Parlimen Sabak Bernam) dan pekarangan Surau Al-Hijriyah, Flat PKNS (Parlimen Petaling Jaya).

Jualan turut dianjur di Angkasa 1D/7, Bandar Mahkota Banting (Parlimen Kuala Langat), Dewan Orang Ramai Taman Sri Ampang (Parlimen Ampang), tapak pasar malam Batu 8 Kapar (Parlimen Kapar) serta di Dataran Jeti Sungai Kajang dan Pusat Desa Kampung Raja Musa (Parlimen Tanjong Karang).

Inisiatif untuk meringankan beban rakyat itu menjual ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Susulan sambutan tinggi orang ramai, program kendalian PKPS itu diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :