Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa Dr G Gunaraj bersenam serta merasmikan Taman Warga Emas di Taman Sentosa Jalan Abdul Hamid 25, Klang pada 25 Jun 2023. Foto Facebook Dr G Gunaraj
ADNSELANGOR

DUN Sentosa bina taman mesra warga emas, sedia kemudahan senaman

SHAH ALAM, 12 JULAI: Taman Warga Emas di Taman Sentosa Jalan Abdul Hamid 25, Klang siap dibina bulan lalu dengan peruntukan RM50,000 menerusi Projek Selangor Penyayang.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa Dr G Gunaraj berkata phaknya berharap kemudahan tersebut dimanfaatkan golongan sasar untuk melakukan aktiviti riadah sekaligus melahirkan masyarakat sihat.

“Objektif pembinaan taman ini kerana kawasan sini yang matang dan memiliki ramai warga emas. Kita tidak mahu golongan ini duduk sahaja di rumah tanpa ada sebarang aktiviti.

“Justeru, kita mencari alternatif untuk membina taman ini khusus buat warga emas. Semoga mereka dapat memanfaatkan prasarana ini sebaiknya dengan aktiviti berfaedah,” katanya ketika dihubungi.

Taman Warga Emas itu memiliki trek joging sepanjang 300 meter dan enam peralatan senaman khas dan lapan kerusi.

“Taman ini memang sudah siap dan beroperasi kepada umum tetapi pada sama projek fasa dua bagi memperindahkan lagi sedang dijalankan,” katanya.

Belanjawan 2023 memperuntuk RM28 juta di bawah inisiatif Projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Setiap DUN diberi RM500,000 untuk menjalankan projek penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

Orang ramai  bersenam di Taman Warga Emas di Taman Sentosa Jalan Abdul Hamid 25, Klang pada 25 Jun 2023. Foto Facebook Dr G Gunaraj

Pengarang :