Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 12 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia memanfaatkan peruntukan RM1 juta di bawah projek Selangor Penyayang (PSP) untuk membaik pulih masjid, dewan serbaguna sekolah, perpustakaan dan tadika.
Penyandang kerusi DUN Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata dana sama turut dibelanjakan bagi melaksanakan kerja turapan jalan di Lembah Subang 1 dan 2 yang memberi keselesaan kepada ramai pengguna.
Menurutnya, kemudahan sukan turut dinaik taraf seperti gelanggang sepak takraw di Balai Polis Kelana Jaya dan gelanggang futsal Kampung Lindungan yang dilaksanakan serentak dengan projek baik pulih perpustakaan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/SK1906MA_06-500x333.jpg.webp)
“Saya juga menyalurkan peruntukan dimohon persatuan penduduk untuk membaiki pusat komuniti membabitkan penggantian bumbung, kabin dan khemah.
“Semua projek ini memberi kelegaan kepada penduduk yang mengharapkan kemudahan selesa,” katanya ketika dihubungi.
Belanjawan Selangor memperuntuk RM28 juta bagi mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat melalui penyediaan projek kecil bawah projek Selangor Penyayang.
Keutamaan projek itu melibatkan penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.