Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ pada 12 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Slogan ‘Kita Selangor’ bawa mesej satu padu hadapi cabaran

SHAH ALAM, 12 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) menggunakan slogan ‘Kita Selangor’ sebagai tawaran kepada rakyat dalam kempen pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi HARAPAN Selangor berkata ‘Kita Selangor’ membawa mesej penting dan tersendiri kepada rakyat dan digunakan secara meluas dalam program serta inisiatif kerajaan sejak diperkenal semasa pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar berkata slogan yang membawa aspirasi rakyat yang sentiasa bersatu padu dalam apa jua keadaan itu akan ditambah dengan perkataan atau ayat tertentu bagi disesuaikan dengan semangat dalam berpilihan raya.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Untuk PRN ini, HARAPAN akan mengekalkan semangat atau tagline (slogan) ‘Kita Selangor’ yang telah saya perkenalkan dan menjadi aspirasi kepada kerajaan dan rakyat negeri ini semasa berhadapan pandemik Covid-19 serta beberapa cabaran lain seperti kegawatan eknomi dan bencana banjir.

“Bagi HARAPAN, ‘Kita Selangor’ itu sudah sarat dengan pengalaman, rekod perkhidmatan dan ia adalah realiti yang diterima secara nyata oleh rakyat ketika ini,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Slogan ‘Kita Selangor’ yang diperkenal sebagai inspirasi melawan Covid-19 dan kelembapan ekonomi pada 2021 mula digunakan secara rasmi dalam surat, urusan dan program rasmi kerajaan negeri bermula November tahun lepas.

Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk bagi mengikuti Saringan Komuniti secara bersasar di Dewan Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya pada 21 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sejak itu, slogan tersebut terus digunakan dalam pelbagai acara, program dan inisiatif kerajaan seperti sambutan kemerdekaan peringkat negeri, pakej bantuan serta rangsangan ekonomi, jelajah kemasyarakatan selain turut diletakkan di belakang jersi ketiga pasukan bola sepak Selangor sebagai simbolik meraikan penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan Gergasi Merah itu.

Antara contoh program dan inisiatif yang digagaskan daripada slogan ‘Kita Selangor’ ialah ‘Kita Selangor Teguh Bersama’ sempena sambutan kemerdekaan, Pakej Kita Selangor 2.0 yang berkaitan ekonomi dan Jelajah Kita Selangor, iaitu program pimpinan kerajaan negeri turun bertemu masyarakat.

Mengulas penggunaan slogan ‘Selangor Baharu’ oleh Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN, Amirudin yang mengetuai kerajaan Selangor sejak Jun 2018 berkata slogan tersebut tidak lebih daripada sekadar propaganda politik.

Sambil mempersoalkan mengenai nilai dan motivasi di sebalik ‘Selangor Baharu’, beliau juga hairan mengapa sehingga kini tiada perincian mengenainya diberikan kepada rakyat sejak slogan itu diperkenalkan.

“Kita tidak pasti apa motivasi di sebalik ‘Selangor Baharu’ yang cuba dibawa pembangkang kerana sampai sekarang ia hanya sekadar slogan yang tidak ada perincian dan sebab itu saya percaya slogan tersebut tidak lebih sekadar propaganda politik,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi pada majlis pelancaran jentera pilihan raya HARAPAN Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 24 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pada Mei lepas, PN Selangor memperkenalkan praslogan ‘Selangor Baharu’ sebagai tawaran daripada gabungan PAS-Bersatu-Gerakan kepada rakyat di negeri ini bagi menghadapi PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi dan kedudukan kerusi sebelum DUN dibubarkan pada 23 Jun lepas ialah HARAPAN memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi iaitu DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

– BERNAMA


Pengarang :