Orang ramai beratur membeli barangan keperluan yang dijual murah sempena Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Ampang di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Ampang pada 12 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

JER terus dapat sambutan, 500 ayam terjual dalam tempoh sejam

OLEH AMIRUL FAZLI

AMPANG , 12 JULAI: Sebanyak 500 ekor ayam terjual dalam tempoh sejam menerusi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Ampang di Dewan Orang Ramai Taman Sri Ampang, hari ini.

Pengurus Operasi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Hasri Abu Hassan memaklumkan beras lima kilogram juga laris dalam jualan yang berlangsung mulai 10 pagi.

“Ayam dan beras antara barang yang mendapat permintaan tinggi sebab ia keperluan asas. Kita adakan di dewan supaya pengunjung dapat berteduh sementara menunggu giliran membeli,” katanya.

Orang ramai membeli barangan keperluan sempena Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Ampang di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Ampang pada 12 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Jualan itu menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga Disember, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Beliau menambah JER kendalian PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri turut mencatat nilai jualan
sekitar RM37 juta sejak pelaksanaannya hujung tahun lalu.


Pengarang :