EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail merasmikan Mini Karnival Mekar dan Jualan Madani di Pangsapuri Kenari, Balakong pada 4 Jun 2023. Foto Facebook Rodziah Ismail
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kios jual barangan asas murah di flat kos rendah jana untung lebih RM13,000

SHAH ALAM, 12 JULAI: Penubuhan kios di lapan pangsapuri kos rendah dan sederhana berjaya mencatat nilai kumulatif jualan lebih RM67,000 dengan keuntungan melebihi RM13,000 sejak diperkenalkan tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Rodziah Ismail menerusi perkongsian video di Facebook bagi memperincikan pencapaiannya dalam melestarikan perumahan strata sepanjang mengalas peranan EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail bercakap kepada Media Selangor ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di tapak pasar malam Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 27 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Alhamdulillah saya melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang selaku EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar sejak 2020 hingga 2023 untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya.

Program Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Selangor (Mekar) merupakan program pemerkasaan ekonomi komuniti yang menggerakkan penubuhan, pemilikan dan pengurusan kios oleh komuniti setempat melalui platform koperasi.

Selain membantu komuniti lebih berdaya maju tanpa bergantung kepada kerajaan terutama ketika krisis ekonomi, program berkenaan turut memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah.

Pangsapuri terlibat ialah Pangsapuri Kos Rendah Taman Dato Hormat, Sijangkang; Pangsapuri Kos Rendah (Blok C) & Sederhana Rendah (Blok A& B), Pandamaran dan Pangsapuri Ruvena Villa, Dengkil.

Turut serta ialah Pangsapuri Kos Rendah Rimau Indah, Kemuning; Perbadanan Pengurusan Anggerik 34, Shah Alam; Apartment Kenari ABCD, Sungai Ramal dan Pangsapuri Prima Cempaka, Kajang dan Pangsapuri Ukay Indah.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail (tengah) beramah mesra bersama Kanak-Kanak yang menggunakan taman permainan projek fizikal bandar berdaya huni (SDGS 11) di Pangsapuri Cemara Taman Bukit Segar Jaya Cheras pada 4 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Menerusi perkongsian sama, Rodziah turut memaklumkan pihaknya sudah melaksanakan 70 projek pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kes vandalisme dan jenayah di perumahan strata.

“Turut dilaksanakan adalah lapan projek pemasangan perangkap nyamuk bagi mencegah wabak denggi dan program laman hijau 2.0 untuk menceriakan kawasan pangsapuri selain menjana sumber pendapatan kepada badan pengurusan bersama,” katanya.

Katanya, 11 projek bagi pembangunan semula dan baik pulih kemudahan awam di kawasan pangsapuri turut dilaksanakan selain pelaksanaan Skim Insurans Pangsapuri Kos Rendah Negeri Selangor membabitkan 82 pangsapuri dengan 39,367 petak terlibat.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail meninjau kebun komuniti projek fizikal bandar berdaya huni (SDGS 11) di Pangsapuri Cemara Taman Bukit Segar Jaya Cheras pada 4 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :