Orang ramai mengharungi jalan yang dinaiki air susulan hujan lebat di New Delhi, India, pada 8 Julai 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

10 rakyat Malaysia terkandas di wilayah India terjejas bah selamat

NEW DELHI, 13 JULAI Sepuluh rakyat Malaysia yang terperangkap di negeri Himachal Pradesh, India yang dilanda banjir, selamat dan dijangka tiba di New Delhi pada Khamis, kata Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra).

Sebelum ini, 12 pendaki Malaysia dilaporkan hilang di wilayah India itu selepas keluarga mereka tidak dapat menghubungi mereka.

Dalam kenyataan pada lewat Rabu, Wisma Putra menjelaskan bahawa daripada 12 individu itu, sebenarnya seorang adalah warganegara China dan seorang lagi adalah warganegara British.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi berjaya menghubungi salah seorang daripada rakyat Malaysia yang terkandas di situ dan menerima maklumat bahawa kesemua mereka selamat dan berada di bandar Manali, kata Wisma Putra.

Misi diplomatik itu sedang berusaha membawa rakyat Malaysia ke New Delhi pada Khamis.

“Jika rancangan evakuasi berjalan lancar, kumpulan itu dijangka pulang ke Malaysia pada hari yang sama dengan penerbangan,” kata kenyataan itu.

Hujan monsun yang lebat telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan utara India. Negeri Himachal Pradesh di mana rakyat Malaysia itu terkandas merupakan negeri yang paling terjejas. Wilayah lain Uttarakhand, Punjab dan Haryana juga mengalami bencana sama yang turut menyebabkan kerosakan ketara jalan raya dan infrastruktur.

Mengikut laporan media tempatan kira-kira 90 orang dilaporkan maut di Himachal semasa musim hujan monsun itu, manakala jumlah kematian di Punjab dan Haryana adalah 21.

Dua belas orang terbunuh dalam insiden berkaitan hujan dalam tempoh 24 jam di negeri Uttar Pradesh, mengikut kenyataan kerajaan India pada Rabu petang.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran banjir bagi banyak daerah di barat Uttar Pradesh. Di Delhi, beribu-ribu orang yang tinggal berdekatan dengan tebing sungai Yamuna telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

Tahap air Yamuna di Delhi telah melampaui tahap bahaya pada Rabu selepas Haryana, negeri jiran, melepaskan isipadu air yang besar dari empangan Hathnikund.

Kementerian Kewangan India pada Rabu telah mengeluarkan sekitar AS$920 juta untuk membantu 22 negeri ekoran hujan lebat di seluruh negara itu.

– BERNAMA


Pengarang :