Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Madani Harapan DUN Bukit Melawati di tempat letak kereta Hotel Sun Inns Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

HARAPAN Selangor yakin menang 33 kerusi selamat, jentera disaran terus kerja keras

KUALA SELANGOR, 12 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor optimis gabungan politik itu mampu menang sekurang-kurangnya di 33 daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijadual berlangsung 12 Ogos ini.

Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu sudah cukup untuk gabungan HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) kembali membentuk kerajaan dengan selesa pada penggal akan datang.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Madani Harapan DUN Bukit Melawati di tempat letak kereta Hotel Sun Inns Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya juga ada buat kajian, dan setakat ini kita ada 33 kerusi selamat dan boleh bentuk kerajaan dengan selesa.

“Itu saya tidak campur lagi dengan tujuh kerusi marginal. Kalau campur semua ini Insya-Allah kita boleh bentuk kemenangan mudah dua pertiga majoriti,” katanya.

Berucap pada Jelajah Madani peringkat DUN Bukit Melawati malam tadi, Amirudin turut yakin HARAPAN dan BN mampu memenangi lebih 50 kerusi sekiranya semua jentera terus bekerja keras.

Menurutnya, sasaran itu tidak mustahil digapai terutamanya jika pihak lawan terus menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam kempen mereka.

“Kalau kita kerja keras sikit, Insyaallah lebih 50 kerusi kita boleh menang, tak mustahil. Saya yakin jentera kita terbaik.

“Mereka (pembangkang) ini akan terus mainkan isu 3R, malah rekod mereka mentadbir ini juga bukannya baik. Selangor akan kacau bilau dibawah mereka,” katanya.

Sebahagian penyokong yang hadir Jelajah Madani Harapan DUN Bukit Melawati di pekarangan Hotel Sun Inns, Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, HARAPAN mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi diikuti BN (empat kerusi) dan PAS (satu kerusi).

Sebelum DUN dibubarkan, HARAPAN memiliki 40 kerusi (KEADILAN-19, DAP-15, Amanah-enam) diikuti BN (lima), Bersatu (empat) dan Parti Bangsa Malaysia (dua) manakala PAS, Pejuang serta Warisan masing-masing satu kerusi selain seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas selepas wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.


Pengarang :