Sebahagian penyokong dan pemimpin menghadiri Jelajah Madani Harapan DUN Bukit Melawati di pekarangan Hotel Sun Inns, Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tertarik cara Selangor jaga rakyat, cadang bawa idea sama di Johor

KUALA SELANGOR, 13 JULAI: Program kebajikan bawah Ilitizam Selangor Penyayang (ISP) akan dikemukakan kepada kerajaan Johor berikutan manfaatnya yang besar buat penduduk.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata perkara tersebut akan dibawa dalam mesyuarat bulanan melibatkan semua wakil rakyat untuk memastikan skim seperti itu dilaksana.

“Apa yang ada di Selangor, tiada di Johor. Lebih 15 tahun ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadikan Selangor penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Nanti saya akan kemukakan 46 skim yang ada di Selangor. Risalah (ISP) ini saya bawa balik untuk lihat apa yang perlu ditiru daripada Selangor. Nak kata kami tiru, katalah. Ini benda baik,” katanya.

Beliau berucap pada program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri Permatang di sini malam tadi, yang turut dihadiri Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hassan berkata skim yang menarik perhatiannya ialah Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) berjumlah RM300 sebulan, Jom Shopping Perayaan dan Dana Bantuan Guaman.

Bermula 2008, Kerajaan Selangor menyediakan pelbagai program kebajikan yang ditambah baik dari masa ke masa dengan terbaharu Skim Insurans Am Selangor (Insan) untuk penduduk seawal 30 hari.


Pengarang :