Orang ramai mendengar ceramah pada program Jelajah Madani peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Dewan Serbaguna Haji Omar, Kampung Bukit Belimbing pada 12 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Banyak program kebajikan dinikmati rakyat Selangor bawah teraju HARAPAN

KUALA SELANGOR, 13 JULAI: Pelbagai program kebajikan diperkenal dan ditambah baik untuk rakyat Selangor sejak pentadbiran negeri diterajui Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor Rozana Zainal Abidin yakin inisiatif itu bakal diperkasa jika Pakatan Harapan (HARAPAN) terus diberi mandat menerajui negeri.

“Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pada 2008, kita laksana lapan program Merakyatkan Ekonomi Selangor. Ia kemudian bertambah kepada 46 program bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

“Pelaksanaan itu boleh dibuat kerana urusan kewangan yang betul, telus, berintegriti dan tiada rasuah,” katanya berucap pada program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang malam tadi.

Rozana yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan menjelaskan Kerajaan Selangor mengagihkan hasil negeri secara adil kepada semua tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

Beliau turut menyeru pengundi untuk mengekalkan kerajaan sedia ada dalam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada 12 Ogos bagi memastikan lebih banyak manfaat boleh diagih.

“Saya berharap rakyat dapat berganding bahu dan bersama-sama memastikan kerajaan sama kekal memerintah Selangor untuk lima tahun lagi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Hari penamaan calon pula ditetapkan serentak pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu.


Pengarang :