Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian Jaringan Usahawan Bizclub : Bizmatch Mega 2.0 di Dewan Raja Muda, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN Selangor letak calon muda, berpotensi menang depani PRN

SHAH ALAM, 13 JULAI: Calon muda dan berpotensi menang bakal diketengah Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) mulai 29 Julai.

Naib Presiden KEADILAN berkata kedua-dua kriteria menjadi keutamaan untuk memastikan wakil rakyat dipilih dapat memberi perkhidmatan terbaik dan membawa kemajuan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan parti itu juga tidak menolak untuk mengekalkan penyandang sedia ada di kawasan sama berdasarkan prestasi cemerlang direkodkan.

“Faktor paling penting dan utama pada calon boleh menang. Kalau calon baharu tetapi boleh menang pun kita letak. Parti juga konsisten letak calon muda, saya sendiri bertanding pada usia 28 tahun.

“Begitu juga kalau calon lama boleh menang, kita akan kekalkan. Akhirnya calon ada kelebihan boleh menang akan jadi ukuran utama untuk diletakkan sebagai calon,” katanya di sini.

Bercakap selepas melancarkan Bizmatch Mega 2.0 Himpunan Usahawan Selangor hari ini, Amirudin menafikan senarai calon bertanding yang tular di media sosial sejak semalam sudah dimuktamad.

“Saya tidak tahu bagaimana pihak yang sebarkan senarai itu lebih tahu kerana calon akan dipilih jawatankuasa. Mulai 16 Julai baru parti adakan mesyuarat untuk melihat senarai calon,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Hari penamaan calon pula ditetapkan serentak pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu.

 


Pengarang :