Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Skim Insuran Am Selangor (INSAN) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Seluruh warga Selangor dapat perlindungan insurans sehingga RM10,000

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 13 JULAI: Perihal keselamatan dan kesihatan antara agenda utama supaya rakyat hidup selesa dan bahagia.

Maka pada 30 Ogos 2022, Kerajaan Negeri mengumumkan perlindungan insurans am berkumpulan percuma iaitu Skim Insurans Am Selangor (INSAN) untuk seluruh warga Selangor.

Lindung hingga RM10,000

Mula dilaksana Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI pada 1 Oktober tahun lalu, INSAN menawarkan perlindungan sebanyak RM60 bilion bagi meringankan beban individu dihimpit masalah.

Penduduk tetap termasuk bayi, kanak-kanak dan remaja atau pengundi di Selangor, berusia antara 30 hari hingga 80 tahun, dilindungi sehingga RM10,000 jika hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Wan Nur Laila Muhammed Arifin, 32, (tengah) menerima sijil Skim Insurans Am Selangor (INSAN) daripada Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari selepas melancarkan skim perlindungan percuma itu sempena Jelajah Selangor Penyayang di Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI

Menyasarkan penyertaan seramai lebih enam juta penduduk, rekod INSAN sehingga Jun 2023 menunjukkan jumlah peserta kira-kira 5.24 juta orang.

Daripada jumlah itu kira-kira 3.5 juta pengundi Selangor, sementara bayi serta kanak-kanak berusia 30 hari hingga enam tahun seramai 750,000 orang.

Jumlah kanak-kanak berusia tujuh hingga remaja berumur 19 tahun adalah 900,843 manakala orang awam sebanyak 81,797 individu.

Murid, pelajar daftar automatik

Kira-kira sejuta pelajar sekolah kebangsaan, menengah (hingga tingkatan enam) dan swasta di negeri itu didaftarkan secara automatik sebagai peserta INSAN mulai Mac.

“Ada lebih 900,000 murid darjah satu hingga tingkatan enam. Itu hitung kasar untuk sekolah kebangsaan dan persendirian (swasta) mungkin tambah lagi. Jadi, mungkin sejuta pelajar,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Mac.

“Satu-satunya negeri di Malaysia dan Asia Tenggara yang menanggung insurans percuma untuk seluruh rakyatnya. Hanya di Selangor,” kata beliau di Twitter pada 8 Julai.

Menjelang tarikh akhir pendaftaran pada 30 September depan, INSAN mensasarkan 763,214 atau 25 peratus peserta yang belum berdaftar lagi, bagi melengkapkan jumlah ditetapkan.

Semakan tuntutan

Penyelaras projek INSAN Nur Syuhaida Jamalluddin mendedahkan tidak banyak tuntutan setakat ini walau saban hari kemalangan dilapor berlaku di negeri itu dalam media massa.

“Masih ramai rakyat Selangor tidak tahu mengenai keistimewaan ini kerana hanya kira-kira 100 tuntutan pampasan akibat kemalangan diterima daripada pemegang polisi,” katanya pada 7 Julai.

“Khususnya bila kita baca surat khabar, berita kemalangan melibatkan rakyat Selangor, tapi tak datang cari (kita, buat) tuntutan. Benda-benda macam ini, datang dekat kita, (buat) tuntutan. Kita akan semak, (ditawarkan) kalau layak.

“Mereka ini ada yang didaftarkan secara automatik dalam sistem kami, jadi kita seru sekiranya ada kemalangan atau kematian berlaku boleh berhubung dengan pihak kami untuk menyemak sama ada anda berdaftar dan layak mendapat pampasan yang disediakan,” katanya.

Reaksi PENERIMA

“Ia salah satu inisiatif yang bagus untuk rakyat Selangor. Warga Selangor (kena) ambil peluang ini sebagai satu perlindungan pada diri sendiri, ahli keluarga terdekat. Tak perlu bayar apa-apa dan tak rugi apa-apa.”  – Mohd Adam Afiq Mayadi, 22, pegawai khidmat pelanggan

 

“Langkah ini sangat baik untuk rakyat. Ditawarkan percuma. Dialu-alukan lagi pun ia bagus sebab ditawarkan untuk satu keluarga.” –Yahaya Ahmad, 61, pesara swasta

 

 

“Bagus juga sebab ramai yang tak ada insurans. Kalau berlaku apa-apa (kemalangan) sekurang-kurangnya ia dapat tolong sikit walaupun tak banyak.”
Fauzi Said, 60, bekerja sendiri

 

 

“Ia satu program yang baik. Sekurang-kurangnya membantu sikit (jika ditimpa kemalangan). Baguslah untuk rakyat dan bantu uruskan pendaftaran.” – Thuraiya Abdul Aziz, 65, bekerja sendiri

 

 

“Polisi yang ditawarkan tu bagus, RM10,000 banyak yang ditawarkan. Percuma pula pendaftarannya. Ia untuk membantu serba sedikit jika berlaku apa-apa.” – Harun Kassim, 67, bekerja sendiri


Pengarang :