Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming melihat replika rumah dalam program Madani Rakyat di Kampung Air Panas Kerling pada 13 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kementerian salur RM2.79 juta bantu MPHS naik taraf kemudahan awam

OLEH DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 13 JULAI: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntuk RM2.79 juta bagi melaksana 14 projek menaik taraf kemudahan awam di Kampung Baru Daerah Hulu Selangor.

Menterinya Nga Kor Ming berkata dana itu diberikan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) untuk mengindahkan kawasan tersebut demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Ditemui pada program Sentuhan Kasih KPKT di sini, beliau menjelaskan jumlah itu tambahan daripada RM4.81 juta yang diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut sebelum ini.

“Peruntukan termasuk membaik pulih dan mengindahkan kawasan terbabit. Ini adalah sentuhan kasih yang akan menjana ekonomi setempat dan bawa kemakmuran kepada penduduk,” katanya hari ini.

Beliau menjelaskan projek meliputi naik taraf dua parit utama di Sungai Buaya Serendah berjumlah RM520,000 dan Seksyen 3 Bandar Utama Batang Kali (RM309,500) selain pembinaan kios (RM450,000).

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media program Madani Rakyat di Kampung Air Panas, Kerling pada 13 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Turut dilaksana naik taraf gelanggang bola keranjang di Taman Kalumpang (RM250,000), baik pulih gelanggang badminton dan pemasangan pagar taman permainan Kampung Asam Kumbang (RM211,806).

Selain itu, penyelenggaraan juga melibatkan longkang di kawasan Chuang Rasa (RM50,320) dan kerja pembaikan kolam takungan di Taman Seri Batang Kali (RM60,000).

Dalam pada itu, Kor Ming menegaskan khidmat kementerian dibuat berterusan tanpa mengira waktu, bukan sebagai ‘gula-gula’ politik menjelang pilihan raya negeri (PRN).

“Sebelum pembubaran (Dewan Udangan Negeri), sudah banyak kali saya lawat Selangor, justeru pengumuman ini tiada kaitan dengan pilihan raya,” katanya.

 


Pengarang :