Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri BesarAhli Juwairiya Zulkifli. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PN digesa mohon maaf Sanusi pertikai institusi kesultanan negeri

SHAH ALAM, 13 JULAI: Perikatan Nasional (PN) digesa memohon maaf serta-merta berikutan kenyataan Menteri Besar Kedah yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi kesultanan Selangor.

Setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar berkata pembangkang juga diminta tidak lagi mengaitkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam kempen dan ceramah pilihan raya negeri.

Juwairiya Zulkifli dalam kenyataan hari ini menegaskan perbuatan sedemikian sebagai biadab, celupar dan tidak wajar mengikut adab orang Melayu terhadap raja.

“Institusi diraja adalah berdaulat dan tidak seharusnya dilemparkan dengan tuduhan tidak berasas demi meraih sokongan,” katanya.

Beliau yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati merujuk ucapan Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor dalam satu ceramah politik PN di Selayang kelmarin.

Juwairiya menambah DYMM Sultan Selangor pada 19 Jun bertitah parti politik tidak memainkan isu agama, kaum dan isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat.

Menyeru titah Baginda dihormati dan ditaati sepanjang tempoh berkempen, beliau menganggap tindakan biadab dan celupar yang ditampil PN dan Sanusi tiada tempat di bumi Selangor.

Berdasarkan rakaman, pemimpin Pas berkenaan seolah-olah menyentuh perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap pelantikan Amirudin sebagai Dato’ Menteri Besar.

Beliau menyebut: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia macam Amir(udin).

Semakan menunjukkan perkataan cokia tiada dalam kamus dewan sebaliknya ungkapan slanga yang digunakan dalam percakapan harian bagi merendah-rendah sesuatu barangan atau individu.


Pengarang :