Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berswafoto dengan orang ramai pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

71 peratus Melayu puas hati Selangor dipimpin Amirudin, 68 peratus setuju pentadbiran HARAPAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak 71 peratus orang Melayu di Selangor berpuas hati dengan prestasi keseluruhan barisan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Tinjauan yang dibuat antara 12 Jun hingga 18 Jun juga mendapati 68 peratus responden berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Negeri bawah gabungan tersebut sejak 2018.

Amirudin juga mendapat sokongan majoriti responden untuk memimpin semula Selangor sebagai Dato’ Menteri Besar selepas pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.

Beliau menjadi pilihan paling popular dengan 46 peratus responden berbanding hanya 6 peratus untuk Dato’ Seri Azmin Ali, 4 peratus Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan 3 peratus Tan Sri Noh Omar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berswafoto dengan orang ramai yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Negeri Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi, Kajang pada 17 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kira-kira 75 peratus responden menjangkakan HARAPAN akan memilih semula Amirudin sebagai Dato’ Menteri Besar jika gabungan HARAPAN dan Barisan Nasional menang.

Dijalankan firma penyelidikan Endeavour-MGC, tinjauan itu mendapati 57 peratus responden bersedia menyokong gabungan Kerajaan Perpaduan berbanding 33 peratus kepada Perikatan Nasional.

Walaupun isu perkauman dan agama sering dimainkan oleh pembangkang, namun kira-kira 61 peratus mengutamakan parti dan 28 peratus lagi memilih faktor calon.

Hanya 7 peratus mengundi berasaskan kepentingan agama dan 1 peratus lagi berdasarkan faktor kaum. Walau majoriti peduli isu ekonomi semasa tetapi hanya 3 peratus responden mengundi berdasarkan faktor itu semata-mata.

Tinjauan tersebut melibatkan 1,068 responden Melayu di seluruh 56 kerusi pilihan raya dengan nisbah seimbang antara lelaki dan wanita.

Kira-kira 45 peratus responden daripada golongan B40, 40 peratus lagi M40 dan selebihnya T20. Margin kesilapan dianggarkan 3 peratus.


Pengarang :