Pemasangan alat permainan serta baik pulih gelanggang badminton di Pangsapuri Kelompok Camar Bandar Sultan Sulaiman, Klang antara peranan dimainkan DUN Bandar Baru Klang bagi memastikan keselesaan penduduk. Foto Facebook Teng Chang Khim
ADNSELANGOR

DUN Bandar Baru Klang manfaat RM300,000 baik pulih jalan, tingkat kemudahan awam

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 14 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang membelanjakan RM300,000 untuk membaik pulih jalan sekitar Klang Utama demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Penyandangnya Dato’ Teng Chang Khim berkata kerja baik pulih yang giat dilaksanakan sejak awal tahun ini menggunakan peruntukan di bawah projek Selangor Penyayang (PSP).

“PSP kali ini kita lebih tumpu di Klang Utama disebabkan pada 2018 kawasan ini tidak termasuk dalam DUN Bandar Baru Klang, jadi banyak jalan rosak teruk.

“Sebaik ia disenaraikan dalam DUN Bandar Baru Klang kita tumpu baik pulih dan turap jalan sekitar kawasan terbabit dengan peruntukan RM300,000 demi keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar,” katanya kepada Selangorkini.

EXCO Perindustrian dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berucap selepas merasmikan Ruang Pejabat Sandbox Selangor (SSCS) di i-City Shah Alam pada 14 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tambah Chang Khim selain baik pulih jalan pihaknya turut menaik taraf longkang bagi mengelakkan masalah banjir di kawasan itu dengan membelanjakan dana sama.

“Kita turut salur peruntukan naik taraf kemudahan sukan seperti gelanggang badminton dan bola keranjang bagi pastikan penduduk khususnya golongan muda dapat beriadah dengan selesa menerusi kemudahan yang kita sediakan,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM28 juta diperuntuk di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :