Usahawan serbuk kopi, Kamaruzaman Denan, 44, menunjukkan Kopi Kampung Kundang atau lebih dikenali dengan jenama Kopi 3K, yang siap untuk dijual kepada pelanggan ketika ditemui di bengkel pemprosessan kopi itu di Kampung Kundang Tanjung Sepat, Banting, pada 12 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengusaha kopi syukur program bimbingan negeri bantu tingkat hasil jualan

TANJUNG SEPAT, 15 JULAI: Pengusaha Kopi Kampung Kundang (3K) Kamaruzaman Denan, 44, dari Kampung Kundang di sini, hari ini mampu tersenyum bangga apabila penghasilan produknya kini berjaya mencatat jumlah jualan yang semakin meningkat.

Beliau berkata pencapaian yang diperolehnya itu, sebahagiannya merupakan hasil selepas dibantu kerajaan negeri Selangor, apabila terpilih menjadi salah seorang peserta dalam program ‘Kita Ke Kampung #produkkampung4u’, sejak Februari lalu.

“Hasil bimbingan dan promosi yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui program tersebut, khususnya bagi strategi pemasaran produknya, telah menjadikan ‘Kopi Kampung Kundang’ atau Kopi 3K mula mendapat sambutan yang menggalakkan, terutamanya dari luar daerah Kuala Langat dan Sepang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui bengkel pemprosesan kopi di Kampung Kundang di sini.

Usahawan serbuk kopi, Kamaruzaman Denan, 44 (kanan) bersama pekerjanya Noorazli Pangilun, 46, mengambil buah kopi yang telah dikeringkan untuk proses pengasingan kulit dan biji kopi ketika ditemui di bengkel pemprosesan serbuk Kopi Kampung Kundang atau lebih dikenali dengan jenama Kopi 3K di Kampung Kundang Tanjung Sepat, Banting pada 12 Julai 2023. Foto BERNAMA

Kamaruzaman berkata sebelum menyertai program tersebut, jumlah jualan kasarnya sekitar RM20,000 sebulan dan kini telah berjaya meningkat 50 peratus kepada purata RM30,000 sebulan.

“Sebelum ini saya banyak pasarkan serbuk kopi ini di kawasan kampung saya, pasar pagi, kedai runcit dan warung sahaja, namun kini permintaan itu sehingga ke Batu Caves, Gombak hasil promosi yang dilaksanakan pihak kerajaan negeri,” katanya.

Namun Kamaruzaman berkata permintaan yang tinggi itu buat masa sekarang perlu dihadkan, kerana masih membungkus uncang kopinya secara manual dan sedang mengumpul modal bagi membeli mesin pembungkusan, yang sekali gus akan membantu dalam perancangannya mendapatkan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), bagi mendapatkan pasaran yang lebih meluas.

Biji kopi yang telah dimasak dan dileraikan sedia untuk dikisar dan dijadikan serbuk Kopi Kampung Kundang atau lebih dikenali dengan jenama Kopi 3K ketika ditemui di bengkel pemprosesan kopi di Kampung Kundang Tanjung Sepat, Banting, pada 12 Julai 2023. Foto BERNAMA

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan negeri Borhan Aman Shah berkata Kamaruzaman, merupakan seorang usahawan desa yang berjaya mencatatkan peningkatan jualan hasil daripada program yang dimulakan sejak 2021 itu.

Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM700,000 setahun, bagi membimbing dan membantu mempromosikan produk 300 usahawan desa dan luar bandar yang terpilih.

“Program ini dijalankan bagi membantu mempromosikan produk usahawan berkenaan luar daripada kawasan tempat tinggal mereka, selain membimbing mereka untuk meningkatkan mutu dan kualiti barangan yang dihasilkan terutamanya dari segi pembungkusan,” katanya.

Borhan berkata beliau mendapat banyak reaksi positif daripada peserta program, khususnya dari segi peningkatan hasil jualan dengan pihaknya yang bertindak sebagai pemudah cara, disamping turut mempromosikan produk usahawan, menerusi program yang dilaksana kerajaan negeri di dalam dan luar negara.

— BERNAMA

Pekerja Noorazli Pangilun, 46, (tengah) bersama rakan meratakan biji kopi yang telah dimasak untuk dikeringkan sebelum proses mengisar dan dijadikan serbuk Kopi Kampung Kundang atau lebih dikenali dengan jenama Kopi 3K ketika ditemui di bengkel pemprosessan kopi di Kampung Kundang Tanjung Sepat, Banting, pada 12 Julai 2023. Foto BERNAMA
Usahawan serbuk kopi, Kamaruzaman Denan, 44, menuang biji kopi ke dalam kawah semasa proses memasak sebelum dikeringkan dan dikisar untuk dijadikan serbuk Kopi Kampung Kundang atau lebih dikenali dengan jenama Kopi 3K ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Kundang Tanjung Sepat, Banting, pada 12 Julai 2023. Foto BERNAMA

Pengarang :